Amik kau! Denda RM 15.45 Juta! Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad Didapati Bersalah.

Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam keputusannya mendapati pembelaan Mohd Isa, 71, hanya penafian semata-mata dan tertuduh juga gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Dengan ini, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

“Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Mohd Nazlan.

Mohd Nazlan berkata, mahkamah juga mendapati pembelaan tertuduh bahawa saksi pendakwaan ke-21 (SP21) Muhammad Zahid Md Arip (bekas pegawai khas politik Mohd Isa) yang juga saksi berkepentingan telah mengenakan implicated tertuduh di dalam kes ini, adalah difikirkan kemudian.

“Pembelaan tertuduh bahawa SP21 berkomplot dengan saksi lain untuk berkongsi wang RM2 juta adalah tidak bermerit dan tidak boleh diterima,” kata hakim itu.

Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini, antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala peguam Datuk Salehuddin Saidin mengetuai barisan pembelaan.

Dijatuhkan Hukuman

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 54 tahun dan denda RM15.45 juta terhadap bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selepas mendapati dia bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Bagaimanapun, Mohd Isa, 71, hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun selepas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dijatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya dan mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Mohd Nazlan ketika membuat keputusan itu berkata, hukuman dijatuhkan adalah bagi memberi peluang kepada pesalah melakukan pemulihan dan juga pengajaran untuk tertuduh dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan serupa.

“Mahkamah mengambil maklum latar belakang tertuduh dan rekod pentadbiran serta penglibatannya dalam politik negara di mana tertuduh telah berkhidmat sebagai menteri besar selama dua dekad dan juga sebagai menteri kabinet.

“Kesalahan berkaitan rasuah adalah serius yang menggugat ekonomi negara dan merupakan barah yang menjejaskan sistem demokrasi negara.

“Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

“Mahkamah juga mengenakan denda lima kali jumlah suapan bagi setiap pertuduhan yang kesemuanya berjumlah RM15.45 juta dan sekiranya gagal membayar denda dikenakan penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan,” kata hakim itu.

Mohd Nazlan membenarkan permohonan Mohd Isa untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga pelupusan kes di Mahkamah Rayuan.

Hakim itu berkata, mahkamah berpuas hati bahawa Mohd Isa berjaya mewujudkan keadaan istimewa bagi mahkamah membenarkan permohonan itu.

“Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta iaitu tertuduh perlu membayar RM700,000 sehingga pukul 2.00 petang esok.

“Tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai,” kata hakim itu.

Terdahulu peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa berkata, sekiranya pelaksanaan hukuman itu berkuat kuasa hari ini anak guamnya akan ditahan di penjara sementara rayuan.

“Oleh itu rayuan anak guam saya akan jadi sia-sia (sekiranya rayuan dibenarkan),” katanya.

Sumber : HMetro

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

Jangan lupa untuk subscribe Facebook, Instagram & Juga Twitter @CherasDaily untuk info baharu dan terkini!

PERHATIAN: Pihak Cheras Daily  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dengan bijak terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Cheras Daily juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*