Apa Nasib Rosmah? Bebas Atau Diarah Bela Diri Bakal Diketahui. Najib Teman Rosmah Ke Mahkamah.

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, akan memutuskan sama ada Datin Seri Rosmah Mansor perlu membela diri terhadap pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, atau membebaskannya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dijangka memberikan penghakimannya pada 9 pagi terhadap Rosmah, 69, isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Sogokan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran kerana menolong Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid dan Penyelenggaraan Operasi Genset Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan melalui rundingan terus.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 hingga September 2017.

Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah kepuasan atau RM10, 000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram sementara peguam Datuk Jagjit Singh mengetuai pasukan pembelaan.

Hanya 30 wartawan, setiap satu daripada organisasi media terpilih termasuk akhbar asing, diberi pas untuk mengikuti prosiding melalui pautan video di ruangan khas.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik Covid-19 yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan, liputan media dalam prosiding mahkamah terbuka tidak dibenarkan, kecuali bagi kes-kes yang membabitkan kepentingan umum, dan pihak mahkamah boleh mempertimbangkan untuk menyediakan ruang untuk siaran langsung atau menyediakan kemudahan liputan media melalui aplikasi Zoom.

Najib Teman Rosmah

Artikel (17 Februari 2021)

Datuk Seri Najib Razak akan menemani Datin Seri Rosmah Mansor apabila Mahkamah Tinggi memberikan keputusan, esok, sama ada isterinya itu perlu membela diri terhadap pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bagi sekolah di pedalaman Sarawak atau membebaskannya.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, yang mendengar perbicaraan kes bekas perdana menteri itu berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bahawa anak guamnya mahu menghadiri prosiding mahkamah Rosmah sebelum menghadiri perbicaraannya sendiri yang dijadualkan bermula 9.30 pagi.

“Anak guam saya mahu berada di sana untuk menyokong isterinya,” kata Muhammad Shafee.

Sequerah kemudiannya membenarkan permohonan itu dan memerintahkan perbicaraan kes berkaitan 1MDB itu bermula pada 10 pagi atau apabila prosiding kes Rosmah selesai.

Kes Rosmah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan dijadualkan bermula 9 pagi.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Muhammad Shafee berkata, tiga Timbalan Pendakwa Raya dalam kes 1MDB turut memaklumkan kepada hakim bahawa mereka akan menghadiri prosiding kes Rosmah.

“Saya kemudian memaklumkan bahawa anak guam saya mahu memberi sokongan, sokongan emosi ketika isteri menerima keputusan sama ada dipanggil membela diri atau tidak,” katanya kepada pemberita.

Ditanya adakah Najib akan dibenarkan menghadiri prosiding (kes Rosmah) itu, Muhammad Shafee berkata, tidak ada masalah kerana esok adalah hari keputusan dan bukan perbicaraan (memberi keterangan).

Najib sebelum ini diminta supaya tidak berada dalam prosiding mahkamah ketika beliau menghadiri perbicaraan kes Rosmah.

Sumber : HMetro

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

Jangan lupa untuk subscribe Facebook, Instagram & Juga Twitter @CherasDaily untuk info baharu dan terkini!

PERHATIAN: Pihak Cheras Daily  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dengan bijak terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Cheras Daily juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*