Dua Lelaki Samun Kereta Berhampiran Roadblock, Nasib Ada Abang Lori Dan Orang Awam Membantu.

Tindakan nekad dua lelaki menyamun seorang pemandu kereta berhampiran sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong di sini, mengundang padah apabila mereka dicekup orang awam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, seorang wanita berusia 32 tahun yang berada di dalam keretanya ketika menunggu pemeriksaan pihak polis kira-kira 100 meter dari plaza tol terbabit dihampiri dua lelaki dengan sebuah motosikal pada 10.10 pagi.

“Seorang daripada suspek kemudiannya bertindak memecahkan cermin kereta di bahagian penumpang hadapan sebelum mengambil beg tangan wanita yang mengandungi dokumen serta wang tunai RM90 sebelum melarikan diri.

“Tindakan suspek memecahkan cermin kereta mangsa disedari seorang pemandu lori yang berada bersebelahan kereta berkenaan lalu menyembunyikan hon dan diikuti pemandu kenderaan lain yang berada berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, suspek terjatuh ketika cuba melarikan diri apabila motosikalnya terlanggar pintu sebuah lori yang dibuka pemandunya bagi menghalang suspek.

“Pemandu lori berkenaan bersama beberapa orang awam kemudiannya menahan kedua-dua suspek berkenaan yang masing-masing berusia 24 dan 28 tahun sebelum diserahkan kepada pihak polis yang bertugas di SJR Plaza Tol Gombak.

“Siasatan awal dilakukan terhadap motosikal dinaiki suspek berkenaan didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Taman Melawati, Ampang dekat sini.

“Pemeriksaan ke atas beg bimbit suspek menemui dua kad pengenalan orang lain yang pernah membuat laporan kes samun di Sentul dan Brickfields semalam masing-masing pada 7.50 serta 8.15 pagi,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan dibuat mangsa, suspek menggunakan modus operandi sama iaitu memecahkan cermin kereta ketika berada di persimpangan lampu isyarat.

“Semakan mendapati seorang daripada suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan jenayah serta dadah dan masih dikehendaki berkaitan kes dadah.

“Dengan penahanan dua suspek terbabit, kami yakin berjaya menyelesaikan empat kes samun di daerah ini dan Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek berkenaan direman selama lima hari bermula hari ini hingga 27 Januari nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan keprihatinan orang ramai yang membantu menangkap suspek dan menyerahkan mereka kepada kami,” katanya.

Sumber : HMetro

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

Jangan lupa untuk subscribe Facebook, Instagram & Juga Twitter @CherasDaily untuk info baharu dan terkini!

PERHATIAN: Pihak Cheras Daily  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dengan bijak terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Cheras Daily juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*