Helikopter Merah Langgar Belakang Helikopter Biru, Punca Terhempas, Pilot Helikopter Merah Dipanggil Untuk Siasatan.

Helikopter jenis Guimbal Cabri G2 (G2CA) berwarna biru dinaiki dua mangsa yang terkorban, manakala helikopter jenis sama berwarna merah pula dinaiki dua mangsa yang terselamat.

“Saya nampak helikopter merah melanggar belakang helikopter biru menyebabkan ekor helikopter biru itu patah,” kata Puteri Nur Elani Ismail, 25, saksi tragedi helikopter terhempas di Taman Melawati, di sini, hari ini.

Penuntut sebuah kolej swasta itu berkata, ketika kejadian 11.30 pagi, dia sedang mengambil daun senduduk berhampiran Bulatan Bukit Emas yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Elaini mengakui sebelum kejadian dia turut mendengar bunyi di udara dan menyangka helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan tinjauan.

“Apabila saya lihat, nampak ada dua helikopter sedang terbang iaitu biru di depan dan merah di belakang. Secara tiba-tiba (helikopter) yang merah melanggar belakang (helikopter) biru.

“Akibat pelanggaran itu, bahagian belakang helikopter biru patah dan merah pula berhenti. Kemudian helikopter biru menjunam ke bawah dan saya mendengar bunyi dentuman kuat.

“Manakala, helikopter merah meneruskan perjalanan dan mendarat di kawasan sekolah yang terletak berhampiran,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini.

Nur Elaini berkata, dia turut ke lokasi helikopter itu terhempas dan melihat orang ramai dengan anggota polis mengawal lalu lintas.

Sementara itu, pengawal keselamatan Apartment Taman Melawati Hillside, Chan Chee Hoy berkata, dia mendengar bunyi dentuman kuat seakan bom.

“Sebelum itu, saya dengar bunyi bising dan menyangka ada lori sedang mengangkat barang kerana laluan di sini memang kerap dilalui kenderaan berat.

“Saya keluar pondok pengawal dan terkejut melihat sebuah helikopter berwarna biru terhempas di kawasan belukar di hadapan apartmen ini,” katanya.

Katanya, ini kejadian kali pertama berlaku di kawasan itu.

Tak Bagi Tengok Jenazah, Ikut SOP Covid – 19

Waris mangsa nahas helikopter yang hadir di bilik jenazah Hospital Canselor Tuanku Muhriz tidak dibenarkan membuat pengecaman mayat berikutan terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Keluarga mangsa hadir jam 4.40 petang tadi selepas jenazah yang dibawa menggunakan trak polis tiba di hospital berkenaan pada 4.23 petang.

Ahli keluarga mangsa hanya dibenarkan masuk ke bilik jenazah berkenaan namun tidak dibenar melakukan proses pengecaman.

Dr Mohd Izani Mohamed Rawi, 48, abang sulung kepada arwah Mohd Irfan Fikri, 44, memaklumkan dia diberitahu untuk menunggu keputusan Covid-19 terlebih dahulu dan selepas itu baru proses bedah siasat diteruskan.

“(Arwah) Dalam beg, tak bagi tengok. Tiada siapa boleh tengok jenazah lagi.

“Apabila dapat keputusan (Covid-19) baru boleh teruskan dengan bedah siasat atau sebagainya. Tetapi kalau positif Kementerian Kesihatan ambil (jenazah) terus.

“(Keputusan Covid-19) Secepatnya esok. Mungkin cepat mungkin lambat. Kita tunggu mereka (pihak hospital) hubungi,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Usaha media untuk mendapatkan respons isteri arwah Mohd Irfan dikenali sebagai Wan Nani Bazlin turut gagal apabila beliau dan beberapa individu lantas memasuki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih sejurus keluar dari bilik jenazah, lalu beredar dari tempat kejadian.

Mohd Izani berkata, isteri arwah tidak bercakap apa-apa dan cuma menangis.

Selain itu, media juga gagal mendapatkan maklum balas daripada keluarga arwah Mohd Sabri Baharom yang maut dalam insiden sama.

Heli Tiada Kotak Hitam

Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) akan memanggil dua mangsa yang terselamat dalam nahas helikopter terhempas di Jalan Taman Melawati di sini esok bagi membantu siasatan, kata Ketua Inspektor Kemalangan Udara BSKU Brigedier Jeneral Izani Ismail.

“Pada hari ini, kedua-dua mangsa telah dibawa untuk menerima rawatan lanjut di hospital, jadi esok kedua-dua mangsa akan dipanggil oleh BSKU bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau juga berkata kedua-dua helikopter jenis pesawat ringan itu tidak mempunyai kotak hitam.

“Kotak hitam hanya terdapat pada jenis helikopter yang saiznya lebih besar dan berat,” katanya ketika ditanya sama ada helikopter itu mempunyai kotak hitam yang merupakan alat penting jika berlaku nahas udara.

Bernama yang berada di lokasi kejadian menyaksikan bangkai helikopter itu dibawa keluar selepas mengambil masa hampir sejam untuk dileraikan dan dibawa ke Subang menggunakan treler panjang bagi urusan siasatan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut (SDR).

“Bedah siasat terhadap dua mangsa nahas itu akan dijalankan esok di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon saksi awam yang merakam insiden tersebut agar tampil ke Balai Polis Taman Melawati atau Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya bagi membantu siasatan.

Dalam insiden itu, dua lelaki maut manakala dua lagi termasuk seorang wanita selamat dalam nahas melibatkan dua helikopter yang dipercayai berlanggar di udara sebelum sebuah daripadanya terhempas di kawasan semak di Taman Melawati.

Bernama melaporkan bahawa helikopter berwarna biru yang terhempas itu diterbangkan oleh Mohamed Sabri Baharom manakala sebuah lagi diterbangkan oleh Datuk Ahmad Jauhari Yahya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sistem Penerbangan Malaysia Berhad yang kini dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad.

Mangsa yang terselamat iaitu Ahmad Jauhari, 66, dan Tan Chai Eian, 51, hanya mengalami kecederaan ringan.

Sumber : Harian Metro

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

Jangan lupa untuk subscribe Facebook, Instagram & Juga Twitter @CherasDaily untuk info baharu dan terkini!

PERHATIAN: Pihak Cheras Daily  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dengan bijak terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Cheras Daily juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*