Pendakwaan Kes Rosmah Mansor Ditutup, 10 Februari Hujahan.

Selepas 23 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan hari ini menutup kes Datin Seri Rosmah Mansor yang menghadapi tuduhan rasuah berhubung projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu demikian kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan selepas saksi terakhir, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang dipanggil semula untuk pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan, selesai memberikan keterangan.

Hakim Mohamed Zaini memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis sebelum 28 Disember ini dan 4 Januari depan serta mengemukakan jawapan balas pada 29 Januari.

Mahkamah turut menetapkan 10 Februari tahun depan untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum memutuskan sama ada Rosmah, 69, dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri.

Terdahulu Sri Ram memaklumkan pihak pendakwaan menawarkan 10 saksi kepada pihak pembelaan termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan pendakwaan untuk memasukkan rakaman audio mengenai percakapan yang didakwa membabitkan Rosmah dan Najib serta transkripnya, sebagai bukti pendakwaan di mahkamah.

Rosmah yang berbaju kurung putih dan berselendang, menghadapi satu tuduhan meminta wang berjumlah RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Dia sepatutnya dibicarakan bersama bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, 46, yang didakwa dengan empat tuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah atas projek itu.

Bagaimanapun pada 8 Januari lalu mahkamah membebaskan Rizal daripada tuduhan setelah pihak pendakwaan menarik balik keempat-empat tuduhan terhadapnya dan Rizal kemudian menjadi saksi utama pendakwaan.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui Rizal, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di ‪No 11, Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Semua kes itu telah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari tahun ini. – BERNAMA

Sumber : HMetro

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

Jangan lupa untuk subscribe Facebook, Instagram & Juga Twitter @CherasDaily untuk info baharu dan terkini!

PERHATIAN: Pihak Cheras Daily  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dengan bijak terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Cheras Daily juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*