Penyelia Taska Mengadu Sudah Tidak Tahan Dengan Masalah Bekalan Air.

Penyelia Kanan Bunga Raya Playschool, Murni Abdullah yang kecewa dengan masalah terbaharu pencemaran Sungai Selangor menyatakan sekurang-kurangnya tiga kali setahun taskanya akan terputus bekalan air. Sudah lima tahun masalah ini berlarutan.

Tamabahan tahun ini lebih menyukarkan kerana mereka menghadapi situasi ini dalam suasana negara berdepan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penyelia taska itu berkata, kebersihan taska menjadi keutamaan mereka demi kesihatan dan keselamatan 90 anak-anak yang dijaga dan 20 kakitangan di situ.

Taska perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan iaitu dibersihkan tiga kali sehari, lantai perlu dimop, perabot perlu dibersihkan dan setiap peralatan mainan perlu disanitasi.

“Semua itu memerlukan air yang banyak, tetapi bila berlaku masalah tiada air seperti ini, ia menyukarkan kami namun kami tetap kena usahakan untuk dapatkan air.

“Hari ini (semalam) saya datang bersama beberapa kakitangan untuk mengambil air di sini bukan sahaja untuk bersihkan taska, tetapi juga untuk kegunaan kakitangan terutama berwuduk dan mandi.

“Apabila tiada air, semua jadi lebih rumit dari segi masa dan tenaga, ulang alik ambil air, hendak isi semula, juga keluar kos lebih berbanding waktu ada air,” katanya.

Murni bersama kakitangannya antara penduduk sekitar Shah Alam yang menunggu giliran untuk mengambil air di Pusat Khidmat Setempat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) depan Dewan Bola Tampar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 4 di sini, semalam.

Murni berkata, pihaknya tetap meneruskan operasi seperti biasa walaupun sudah dua hari tiada air.

“Khamis dan Jumaat lalu, taska beroperasi seperti biasa walaupun tiada air, sebab ibu bapa penjaga anak-anak yang kami jaga bekerja seperti biasa, jadi mereka kena hantar anak di taska. Cuma sepanjang tempoh tiada air ini, setiap ibu bapa dan penjaga perlu menyediakan air sekitar 5 liter hingga 10 liter untuk keperluan mandi anak mereka dua kali sehari dan membersihkan anak-anak mereka sama ada buang air besar atau kecil.

“Air untuk minum, masak makanan mereka, buat susu dan keperluan taska, kami sediakan. Ibu bapa semua faham dan ada yang sediakan bekalan air lebih kerana mereka tahu keperluan anak mereka,” katanya.

Bagaimanapun katanya, taska tidak akan beroperasi sekiranya pihak kementerian mengeluarkan arahan dan surat rasmi supaya taska ditutup atas sebab-sebab tertentu.

Sumber: Harian Metro

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

Jangan lupa untuk subscribe Facebook, Instagram & Juga Twitter @CherasDaily untuk info baharu dan terkini!

PERHATIAN: Pihak Cheras Daily  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dengan bijak terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Cheras Daily juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*