Sempena Sambutan Kemerdekaan 70 peratus diskaun bayaran saman dilanjutkan sebulan – JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memanjangkan tempoh pembayaran diskaun 70 peratus yang ditawarkan bagi bayaran saman yang dikeluarkan JPJ dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), hingga hujung bulan ini.

Pengarah Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik JPJ, Mohamad Yatim Nawawi, berkata tempoh pembayaran yang berakhir pada 31 Ogos lalu dilanjutkan sebulan atas arahan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bagi membantu rakyat ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, sambutan ke atas tawaran diskaun itu begitu menggalakkan sehingga menyebabkan semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) penuh sesak.

Justeru, katanya, orang ramai disaran mengambil peluang tempoh lanjutan sebulan diberikan itu bagi menyelesaikan pembayaran saman masing-masing.

“Selepas tamat tempoh diskaun ini individu yang mempunyai saman akan membayar saman seperti asal,” katanya selepas menghadiri majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Pelancaran Drama Skuad JPJ antara JPJ dan Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd, hari ini.

Mohamad Yatim berkata, diskaun 70 peratus bayaran saman itu adalah sempena sambutan bulan kemerdekaan bagi saman yang dikeluarkan atas kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah di bawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

Selain pejabat JPJ negeri, cawangan dan UTC, orang ramai juga boleh membuat pembayaran di portal mySIKAP JPJ, kiosk JPJ dan JPJ Mobile.

Mohamad Yatim berkata, bagi kesalahan yang disenarai hitam, orang ramai dikehendaki hadir ke pejabat JPJ cawangan atau negeri bagi proses dokumentasi sebelum urusan pembayaran dilakukan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPJ bersetuju dengan cadangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) supaya laluan bagi motosikal dipisahkan dengan kenderaan yang lain.

Katanya, perkara itu memerlukan persetujuan daripada pelbagai agensi atau jabatan yang berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Penggunaan lorong kecemasan sama ada meletakkan kenderaan atau melaluinya menyalahi undang-undang sedia ada mengikut Kaedah 53 Kaedah Lalulintas Jalan Raya 1959.

“Justeru JPJ bersetuju dengan cadangan MIROS supaya mengadakan laluan khas motosikal itu berlainan daripada laluan biasa,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

Jangan lupa untuk subscribe Facebook, Instagram & Juga Twitter @CherasDaily untuk info baharu dan terkini!

PERHATIAN: Pihak Cheras Daily  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dengan bijak terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Cheras Daily juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*