Suspek Serang PGA Di Sempadan Dipercayai Sindiket Penyuludupan.

PGA atau dikenali sebagai Anggota Pasukan Gerakan Am Batalion 3, Bidor Perak yang maut ditembak ketika menjalankan tugas rondaan di sempadan Perlis masih menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata, mendiang Koperal Baharudin Ramli, 54, akan dibawa untuk disemadikan di kampungnya di Bahau, Negeri Sembilan sejurus selesai urusan di sini.

Menurutnya, proses bedah siasat bermula 2.10 petang hari ini dan sehingga 3.45 petang masih belum selesai.

“Proses penghantaran mendiang akan dilakukan dari sempadan ke sempadan dan pihak kami akan mengiringinya sehingga sempadan Pulau Pinang sebelum diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang untuk ke destinasi seterusnya.

“Kami seluruh warga Kontinjen Kedah mengucapkan takziah kepada keluarganya kerana mendiang berkorban nyawa ketika menjalankan tugas di kawasan sempadan dalam Ops Benteng menjaga keamanan negara,” katanya ketika ditemui di sini.

Hasanuddin berkata, beliau turut menasihatkan semua pasukan keselamatan dan anggotanya yang bertugas di sempadan supaya berhati-hati ketika menjalankan tugas.

Beliau berkata, kawasan sempadan negara nampak tenang tetapi gelodaknya tidak nampak dan perlu sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tugas.

“Saya pergi ke lokasi kejadian tadi dan mendapati kawasan itu ada tembok dan pagar keselamatan, malah insiden ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Hasanuddin berkata, kawalan sempadan Malaysia-Thailand termasuk laluan darat dan laut di negeri ini juga akan dipertingkatkan untuk mengelak dari insiden seperti ini berulang.

Ia adalah kejadian kedua membabitkan tembakan di sempadan yang mana kejadian sebelum ini berlaku di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, anggota PGA terdengar bunyi tembakan dan api sebelum menemui dua kelongsong peluru di kawasan sempadan.

Sindiket Penyeludupan Dipercayai Serang

Sindiket penyeludupan dipercayai menjadi dalang serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand dekat sini, awal pagi hari ini.

Sumber memaklumkan, tindakan pihak berkuasa Malaysia mengetatkan kawalan sempadan terutama di Perlis dan Kedah menyebabkan kegiatan penyeludupan menjadi sukar dilakukan.

Beliau berkata, sindiket sama turut dipercayai melepaskan tembakan amaran ke arah anggota PGA yang sedang melakukan rondaan sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 13 November lalu.

“Kes (tembakan) ini ada kaitan kumpulan penyeludup, ada yang tidak puas hati apabila kita ketatkan sempadan.

“Dua anggota sedang berkawal ketika diserang, ada anggota lain dengar bunyi tembakan,” katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi hari ini, anggota PGA Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut terkena tembakan, manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, parah.

Mereka yang sedang melakukan kawalan di pos sempadan dipercayai diserang dari arah negara jiran oleh anggota sindiket yang kemudiannya melarikan diri.

Tindakan pihak berkuasa mengetatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand sejak Mac lalu, menyebabkan kegiatan penyeludupan terutama membabitkan sindiket dadah dan ketum menjadi lumpuh.

Sumber : HMetro

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

Jangan lupa untuk subscribe Facebook, Instagram & Juga Twitter @CherasDaily untuk info baharu dan terkini!

PERHATIAN: Pihak Cheras Daily  tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dengan bijak terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Cheras Daily juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*